TAZKIRAH
ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU
Bagi seorang pelajar atau murid
haruslah menepati beberapa syarat untuk menuntut ilmu agar ilmu yang
dicari akan memberi manfaat kepadanya di dunia mahupun di akhirat. Di
antara adab-adab yang perlu dimiliki oleh seorang penuntut ialah seperti
berikut:
- Niat yang ikhlas kepada Allah swt . Yakni mencari ilmu kerana ia
merupakan satu kefardhuan daripada Allah. Mencari ilmu bukan bertujuan
untuk mendapat habuan dunia semata-mata atau untuk berdebat dengan
orang jahil. Barang siapa yang mencari ilmu dengan tujuan selain
daripada kerana Allah swt maka telah siap untuknya neraka Allah swt.
- Tekun dan bertawakkal hanya kepada Allah swt. Sesungguhnya Allah swt sangat suka kepada orang yang
melakukan sesuatu pekerjaan lalu ia tekun mengerjakannya. kita
hendaklah bertawakkal hanya kepada Allah swt. sahaja dalam segenap hal,
lebih-lebih lagi dalam masalah menuntut ilmu . Ini kerana kita sebagai
hamba hanya mampu berusaha tetapi Allahlah yang menentukan segalanya.
- Menjauhi segala maksiat. Maksiat adalah satu punca daripada
punca-punca seseorang pelajar itu susah untuk menerima, memahami dan
mengamalkan sesuatu ilmu. Seorang pelajar perlulah berusaha semampu yang
boleh untuk mengelakkan dirinya daripada sebarang maksiat. Sekiranya
ia melakukan maksiat secara tidak sedar maka segeralah bertaubat kepada
Allah swt. Orang yang sempurna bukan orang yang tidak pernah
melakukan maksiat tetapi orang yang sempurna ialah orang yang apabila
ia melakukan maksiat ia terus bertaubat kepada Allah swt dengan segera.
- Memilih kawan yang soleh. Kawan memainkan peranan penting bagi orang
yang hendak menuntut ilmu. Kita akan senang terpengaruh dengan akhlak
kawan, sekiranya kita memilih kawan yang soleh mudah-mudahan kita akan
menjadi insan yang soleh juga.
- Banyakkan zikir atau mengingati Allah swt. Kita tidak akan melakukan
sesuatu maksiat di saat kita mengingati Allah swt. Zikir juga akan
memberi ketenangan kepada jiwa kita. Apabila jiwa kita tenang maka
segalah masalah akan dapat diselesaikan dengan baik.
- Menghormati diri sendiri dan orang lain. Ramai orang yang boleh
menghormati orang lain tetapi tidak ramai orang yang mampu menghormati
diri sendiri seperti tidak melakukan perkara-perkara yang boleh
merosakkan badan,roh dan akal.
- Doa daripada ibubapa. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam
kejayaan seseorang pelajar. Doa yang tidak akan ditolak oleh Allah swt
ada tiga golongan iaitu doa orang yang dizalimi,doa ibubapa dan doa
orang musafir.
- Menghormati guru. Seorang pelajar wajib menghormati gurunya untuk
mendapat keberkatan dalam hidupnya. Gurulah yang berkorban untuk
menjadikan kita seorang yang berilmu pengetahuan sehingga dapat memasuki
menara gading dan mendapatkan pekerjaan yang baik.
- Beramal dengan ilmu yang dipelajari. Allah amat murka kepada mereka
yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkannya. Ilmu yang tidak diamal
ibarat pohon yang tidak berbuah.
No comments:
Post a Comment